Isnin, 7 Julai 2014

TAJWID DALAM AYAT-AYAT BACAAN DAN HAFAZAN


PENGUKUHAN TAJWID 1 :HUKUM-HUKUM NUN SAKINAH


Nun Sakinah iaitu nun yang tidak berbaris dan tetap wujud ketika bacaan wasal dan waqaf juga tetap wujud pada lafaz dan resam dan wujud pada pertengahan dan penghujung kalimah dalam keadaan samada sebagai huruf asli atau sebagai huruf tambahan(alkaul almufid, burhanuddin al-baqai ms 33).Frasa nun sakinah bermaksud pengabaian pada nun berbaris samaada ketika mukahaffafah atau ketika musyaddadah (tasdid). Frasa tidak berbaris bermaksud pengabaian pada nun sakinah ketika pertemuan pertemuan dua sukun (iltiqa sakinain). Frasa tetap wujud ketika wasal dan waqf bermaksud pengabaian pada sukun yang wujud ketika waqaf (mad arid). Frasa pada lafaz dan resam bermaksud pengabaiaan pada nun mati pada baris tanwin kerana ia dilafazkan tetapi nun tidak ditulis (diresam). Frasa bersifat asli wujud pada kalimah anamta yang berasal daripada kalimah “naima” dan bersifat sebagai huruf tambahan pada kalimah “fantolaqo” yang berasal daripada kalimah “tolaqo”. Nun sakinah berlaku pada kata nama, kata kerja dan pada huruf. Pada kata nama dan kata kerja ia berlaku wujud pada pertengahan (muntasir) dan penghujung kalimah(yantasirun). Pada huruf ia wujud pada penghujung sahaja (min).
Tanwin pada bahasa bermakna suara(taswit) dan pada istilah ialah nun tambahan yang dimasukkan pada penghujung kata nama yang dihilangkan pada resam dan ketika bacaan waqaf. Frasa nun mati bermaksud pengecualian pada nun dalam baris tanwin ketika pertemuan dua sukun (iltiqa sakinain). Kata tambahan bermaksud pengecualian pada nun huruf asli yang diresam dengan huruf nun. Frasa pada penghujung kata nama bermaksud pengabaian pada nun taukid khofifah yang terdapat pada dua kalimah sahaja di dalam al-Quran iaitu : lanasfaan (alaq 15) dan walayakunan (yusuf 32).Frasa dihilangkan pada resam bermaksud nun dibaca pada baris tanwin tetapi huruf nun tidak diresam. Frasa dihilangkan ketika waqaf bermaksud kerana baris tanwin bila diwaqafkan ia akan diibdal dengan huruf alif (mad iwad).

Apabila nun sakinah atau tanwin bertemu dengan huruf-huruf hijaiyyah hukumnya terbahagi kepada empat iaitu Izhar, idgham, ikhfak dan iqlab.

Izhar.
Izhar bererti nyata dan terang dan pada istilah ialah mengeluarkan setiap huruf daripada makhrajnya dengan terang tanpa dengung. Terdapat enam huruf izhar yang digabungkan dalam ungkapan “Aghin ghoahu”.Kejauhan makhraj nun sakinah atau tanwin dengan huruf-huruf halkum menyebabkan bacaannya diizharkan.


Idgham.
Pada bahasa bererti memasukkan sesuatu ke dalam sesuatu dan pada istilah bermaksud memasukkan huruf yang sukun ke dalam huruf berbaris seolah-olah menjadi satu huruf bertasdid. Huruf-hurufnya digabungkan ke dalam ungkapan “yarmaluna”. Sebab-sebab bacaan diidgamkan kerana pertama makhraj nun sakinah dan tanwin adalah dua huruf mislain/ mutamasilain, kedua makhraj nun sakinah dan tanwin dengan mim adalah dua huruf yang bersekutu pada segala sifat dan ketiga nun sakinah dan tanwin dengan huruf-huruf lam,ra,wau dan ya adalah dua huruf mutaqaribain.Idgham terbahagi dua iaitu idgham tanpa dengung dan idgham dengan dengung. Idgham tanpa dengung mempunyai dua huruf yang digabungkan dalam ungkapan “ralla” dan huruf-huruf idgham maal ghunnah digabungkan dalam ungkapan “yumin”.

Martabat idgham juga terbahagi dua iaitu idgham kamil dan naqis. Ulama bersepakat mengatakan idgham kamil nun sakinah dan tanwin berlaku pada dua huruf iaitu lam dan ro dan kebanyakan ulama juga mengatakan idgham kamil juga berlaku pada huruf-huruf nun dan mim.


Iqlab
Iqlab bererti memalingkan sesuatu dan pada istilah bermaksud menukarkan lafaz sesuatu huruf kepada yang lain dengan mengekalkan dengung serta ikhfak.(Dikhfakkan mim kepada ba)
Sebab-sebab ditukarkan nun sakinah dan tanwin kepada mim kerana kedua-dua huruf itu mempunyai persamaan iaitu; persamaan pada makhraj dan sifat-sifat kedua-duanya.

Ikhfak
Pada bahasa Ikhfak bererti tersembunyi dan pada istilah mennyembunyikan huruf sukun dengan satu sifat antara izhar dan idgham tanpa tasdid serta kekal ghunnah pada huruf pertama. Huruf-hurufnya digabungkan dalam rangkaikata “ستجز صدك فثق ضطظ شذ”. Sebab-sebab diikhfakkan kerana  makhraj nun sakinah atau tanwin tidak berjauhan dan tidak berhampiran dengan makhraj huruf-huruf ikhfak. Jadi ia berada di pertengahan di antara izhar dan idgham.
Ikhfak mempunyai tiga martabat.
1.    Martabat tertinggi iaitu ikhfak kepada huruf to dan ta.
2.    Martabat terendah iaitu ikhfak terhadap huruf-huruf “kof” dan “kaf”
3.    Martabat pertengahan iaitu ikhfak terhadap huruf-huruf selain daripada huruf-huruf di atas.


AL-MUDUD

Mad
Mad pada bahasa bererti pertambahan. Pada istilah mad diertikan memanjang suara pada salah satu huruf mad atau huruf-huruf lin. Dalil bacaan mad terdapat melalui hadith nabi yang diriwayatkan oleh ibnu masud di mana seorang lelaki membaca ayat 60 surah taubah tanpa bacaan mad.

Huruf mad ada tiga iaitu alif wau dan ya tetapi dengan syarat-syarat berikut; pertama alif yang didahului oleh baris fathah, kedua wau sakinah yang didahului baris dommah dan ketiga ya sakinah yang didahului baris kasrah. Contoh bagi keadaan-keadaan mad tersebut terdapat pada kalimah "نوحيها"  , manakala huruf lin terdapat dua iaitu wau dan ya yang berkehendakkan syarat-syarat ; wau sakinah didahului baris fathah dan ya sakinah yang didahului baris fathah seperti contoh-contoh "ليس دان سوف" .

Pembahagian mad.
Mad terbahagi dua mad asli dan mad farei. Mad asli iaitu mad yang terjadi dengan sebab utama mad iaitu kewujudan huruf mad. Ia juga dikenali mad tabie dan mad zati. Mad asli terbahagi kepada dua pula iaitu mad asli harfi atau mad asli thunai. Ia hanya terdapat di huruf-huruf tertentu pembukaan surah yang dikumpulkan dalam ungkapan "حي طهر". Mad asli kedua ialah mad asli kalimi atau mad asli mutlak seperti contoh sebelum ini.

Mad farie pula terhasil daripada sebab kewujudan hamzah atau sukun yang mengiringi huruf-huruf mad atau lin. Ia juga dikenali dengan nama mad mazidi. Terdapat tiga jenis yang terhasil dengan sebab kewujudan hamzah. Mad-mad itu ialah mad wajib muttasil, mad jaiz munfasil dan mad badal. Mad arid lissukun, mad lin dan mad lazim pula terhasil daripada kewujudan sukun.

 
Jenis mad akibat kewujudan hamzah.
Mad wajib muttasil.
Ia terhasil apabila mana-mana huruf mad bertemu hamzah dalam satu kalimah sama ada ketika bacaan wasal atau ketika waqaf. Mengikut imam asim riwayat hafs torik Syatibi wajib dibaca 4 atau 5 harakat ketika bacaan wasal dan harus dibaca 6 harakat ketika waqaf. Ketiga contoh bagi hukumnya terdapat pada kalimah-kalimah "ساء، سوء دان سيء" .

Mad jaiz munfasil.
Ia terhasil apabila mana-mana huruf mad bertemu hamzah dalam dua kalimah iaitu ketika bacaan wasal sahaja. Hukumnya mengikut imam asim riwayat torik syatibi harus dibaca 4 atau 5 harakat ketika wasal dan hanya dibaca dua harakat ketika waqaf. Contohnya terdapat pada kalimah "ومآانزل، قالو إنا معكم، وفى أنفسكم" .
Mad badal.
Ia terjadi apabila hamzah mendahului huruf mad dengan syarat tiada hamzah atau sukun selepas huruf mad tersebut. Ia juga digelar mad badal asli. Mengikut riwayat hafs Torik Syatibi ia dibaca dua harakat. Contoh-contohnya terdapat pada kalimah-kalimah "ءامن،أوتي دان إيمنا" . jika huruf mad terdapat selepas huruf hamzah asli ia dinamakan mad syabih bil badal. Contonya




Mad arid lilsukun.
Ia terjadi apabila huruf mad bertemu sukun yang mendatang iaitu ketika waqaf sahaja. Bacaannya harus 2,4 dan 6 harakat.

Mad lin.
Ia terjadi apabila huruf lin bertemu dengan sukun yang mendatang iaitu ketika waqaf sahaja. Ia harus dibaca 2 , 4 atau 6 harakat.

Mad lazim.
Secara am mad lazim terbahagi kepada dua kategori kalimi dan harfi. Mad lazim kalimi apabila huruf mad bertemu dengan sukun asli dalam kalimah-kalimah al-Quran dan mad lazim harfi berlaku apabila huruf mad bertemu dengan sukun asli pada huruf-huruf pembukaan (fawatih) al-Quran. Setiap mad lazim harfi dan kalimi terbahagi kepada dua bahagian pula iaitu muthaqqal dan mukhaffaf. Maksud muthaqqal ialah huruf sukun selepas huruf mad diidghamkan ke dalam huruf selepasnya manakala mukhaffaf ialah huruf sukun selepas huruf mad tidak diidghamkan ke dalam huruf selepasnya.



Mad-mad farie yang lain.

Mad shilah.
Terjadi ketika membaca wasal pada hak domir yang berada di antara dua huruf berbaris dan ia terbahagi dua iaitu qosirah dan towilah. Mad silah qosirah ialah apabila hak domir mendahului huruf hijaiyyah selain daripada hamzah. Ia dibaca 2 harakat ketika wasal dan ketika waqaf dimatikan hak domir tersebut. Mad silah towilah pula ialah apabila hak domir mendahului hamzah. Mengikut riwayat hafs torik Syatibi ia dibaca 4 atau 5 harakat ketika wasal dan apabila waqaf ia dimatikan.

Mad tamkin.
Apabila berhimpun dua huruf ya dengan syarat ya yang pertama bertasdid dan berbaris kasrah dan ya kedua sukun.

Mad iwad.
Ia terjadi apabila waqaf pada huruf bertanwin mansub kecuali ta marbutoh. Bacaannya 2 harakat kerana ia mad tabie yang terjadi ketika waqaf.

Mad faraq.
Ia terjadi apabila hamzah wasal yang berada sebelum lam takrif dimasuki hamzah istifham. Ia sebahagian daripada mad lazim kalimi sama ada muthaqqal dan mukhaffah.

Mad takzim
Terjadi apabila huruf mad pada kalimah la nafiah bertemu hamzah pada kalimah "إله". Hukumnya harus dibaca 4 atau 5 harakat kerana ia sebahagian daripada mad jaiz munfasil.

Mad tabriah.
Terjadi apabila huruf mad pada kalimah la nafiah bertemu dengan huruf hijaiyyah selain daripada hamzah. Hukumnya wajib dibaca 2 harakat kerana ia sebahagian daripada mad asli.






1 ulasan:

  1. The Best Casino Games for Windows 10 - DrmCD
    If 삼척 출장샵 you've already installed Wild Wild 상주 출장안마 West Slots on your Windows 10 computer, 안산 출장샵 you should also have 경상남도 출장안마 a look at our detailed 순천 출장마사지 guide on how to download and install

    BalasPadam