Isnin, 7 Julai 2014

Pengenalan kepada Al-Quran

Rasm dan Rasm Uthmani.

Rasm ialah pembentukan (taswir) kalimah melalui gabungan huruf-huruf Hijaiyah. Rasm Uthmani pula ialah bentuk-bentuk tulisan Al-Quran yang digunakan dan dipersetujui Saidina Uthman ketika penulisan dan penyalinan Al-Quran. Ada yang mentakrifkan sebarang bentuk penulisan yang berlainan dengan cara penulisan lafaz-lafaz Al-Quran. Ini disebabkan adanya penambahan, pembuangan, penggantian dan sebagainya dalam struktur kalimah tertentu Al-Quran. Dr Syaaban Mohd Ismail memperincikan sebagai suatu keterangan yang membincangkan mengenai cara penulisan mushaf-mushaf pada zaman saidina Uthman.

Ia juga dikenali dengan Rasm Istilahi kerana dinisbahkan kepada aktiviti sahabat-sahabat yang bertanggungjawab menulis Mushaf-Mushaf dengan menggunakan kaedah-kaedah tertentu. Ia juga dinamakan Rasm Tauqifi kerana kebanyakan ulama berpendapat bahawa Rasm tersebut merupakan manifestasi kaedah-kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah dan bagindalah juga memerintahkan supaya digunakan di dalam penulisan Al-Quran Ketika itu. 


Sejarah Rasm Uthmani

Penulisan .
Umum diketahui bangsa Arab adalah bangsa Ummi tidak mengenal tulisan. Keadaan ini berlaku di kalangan Quraisy kecuali beberapa orang yang belajar menulis menjelang kedatangan Islam. Hal ini juga menjadi isyarat daripada Allah mengenai akan datang seorang nabi  iaitu Nabi Muhammad s.a.w mengukuhkan Islam dan menyiapkan dokumentasi yang dia akan turunkan kepadanya. Media tulisan merupakan media penjagaan yang lebih teliti dan berkemungkinan minima mengalami perubahan.

Para sejarawan hampir bersepakat bahawa kaum Qurais di Makkah tidak mengambil tulisan kecuali melalui Harb bin Umaiyah Ibn Abi Syam. Mereka cuma berbeza pendapat mengenai daripada siapa ia mempelajarinya. Dari sumber inilah dijumpai sejumlah orang yang mampu menulis menjelang kedatangan Islam. Jumlah mereka sangat sedikit  dibanding dengan sekian besar jumlah yang masih buta huruf.

Adapun warga Madinah ada di antara mereka terdapat sejumlah ahli Kitab yang mampu menulis. Ketika nabi memasuki Madinah terdapat sebilangan orang Yahudi yang mengajar anak-anaknya menulis. Di sini juga terdapat dua puluh orang yang pandai menulis antaranya Munzir ibn Amr, Ubay ibn Wahb, Amr ibn Said, Zaid b Thabit yang kesemuanya juga belajar tulis menulis daripada kalangan Yahudi atas perintah Nabi s.a.w.

Kemudian datanglah Islam. Ia memerangi buta huruf bangsa Arab, dan menghapuskannya demi mempertingkatkan martabat mereka. Ayat-ayat 1 dan 4-5 surah Al-Alaq dan ayat-ayat 1-2 surah Al-Qalam membuktikan keadaan tersebut. Peringatan melalui ayat-ayat tersebut membuktikan keperluan penulisan dalam mengangkat martabat umat islam. Oleh sebab itu Rasul s.a.w sangat menggalakkan sahabatnya untuk belajar manulis. Ia menyedia berbagai media untuk mencapai hasrat tersebut. Tawanan perang badar yang pandai menulis diarahkan mengajar sepuluh sahabat nabi sebagai bahan tebusan. Sedikit demi sedikit hilangnya buta huruf dan digantikan dengan celik huruf. Ini membuktikan bahawa islam adalah agama ilmiah, berbudaya dan bertamadun.

Penulisan Al-Quran
Rasulullah mengambil berat terhadap penulisan Al-Quran. Ini dibuktikan melalui perlantikan nabi s.a.w terhadap para penulis wahyu antaranya keempat-empat Khalifah rasyidah, Muawiyah, Abbas b Said, Khalid b Walid, Ubai b Kaab, Zaid b Thabit, Thabit b Qais, Arqam ibn Ubai dan lain-lain sahabat. Setiap kali ada wahyu turun beliau menyuruh menulisnya demi memperkukuh dokumentasinya, di samping menambah kepercayaan dan kehati-hatian terhadap Kitab Allah sehingga penulisannya mendukung hafazan. Mereka mencatat tulisan-tulisan Al-Quran menggunakan pelbagai sumber yang ada pada masa itu yang juga menunjukkan besarnya perhatian mereka terhadap penulisan Al-Quran. Kemudian tulisan-tulisan itu disimpan di rumah Rasulullah s.a.w. Jadi di masa kenabian, al-Quran telah dihimpun dengan cara itu. Hanya ia belum ditulis dalam sahifah-sahifah atau mushaf-mushaf. Ia tertulis berserakan di atas tulang-tulang dan media-media lain yang seumpamanya.

Penulisan pada masa Saidina Abu Bakar.
Abu bakar menjalankan urusan Islam sesudah kewafatan Rasulullah. Ia menghadapi masalah kemurtadan sebahagian orang arab. Peperangan yamamah mensyahidkan ramai para hafiz Al-Quran dan saidina Umar melahirkan kebimbangan terhadap Al-Quran. Setelah saidina Umar memujuk saidina Abu Bakar dan juga Allah membuka hati Abu Bakar  Zaid b Thabit mengumpul Al-Quran. Ia menjalankan tugas tersebut berdasarkan hafazan yang ada dalam hati para Qurra dan catatan-catatan yang ada pada para penulis. Kemudian lembaran-lembaran itu disimpan di tangan Abu Bakar, seterusnya Saidina Umar dan kemudian berpindah ke tangan Hafsah (anak saidina Umar).

Penulisan Quran pada masa Saidina Uthman.

Penyebaran islam bertambah luas dan para Qurra tersebar di pelbagai wilayah, dan penduduk di setiap wilayah mempelajari qiraat daripada Qari yang dikirim kepada mereka. Cara pembacaan mereka berbeza-beza seiring dengan perbezaan “huruf” yang dengannya Al-Quran diturunkan. Apabila mereka berkumpul di suatu pertemuan sebahagian mereka merasa heran perbezaan-perbezaan Qiraat yang berlaku di kalangan mereka.

Perbezaan-perbezaan tersebut semakin ketara setelah terjadi peperangan Armenia dan Azarbaijan. Sebahagian qiraat-qiraat tersebut bercampur dengan kesalahan. Para sahabat perihatin terhadap masalah ini kerana takut kalau perbezaan ini menimbulkan penyimpangan dan perubahan. Mereka bersepakat menyalin lembaran-lembaran pertama yang ada pada Abu Bakar dan menyatukan umat Islam pada lembaran itu dengan bacaan yang tetap pada satu huruf. Al-imam Abu Abdillah al-Muhasiby dalam kitabnya “fahm as-sunan” menjelaskan “Abu Bakar memerintahkan menyalinnya dari satu tempat ke tempat lain atau dari satu media ke media lain secara kolektif. Media yang digunakannya ibarat media yang digunakan oleh rasulullah s.a.w yang masih berserakan , kemudian ia mengumpulkannya dan mengikatnya dengan benang sehingga tidak ada yang terabai”. 

Penulisannya di zaman Saidina Uthman.
Semasanya kawasan Islam semakin luas dan kaum muslimin bertaburan diberbagai daerah. Umat islam jauh daripada masa kerasulan dan turunnya wahyu. Masing-masing daerah islam mengambil qiraat sahabat terkenal daripada kalangan mereka. Di antara mereka terjadi perbezaan wajah-wajah qiraat yang memungkinkan timbulnya pertikaian dan perpecahan. Pertikaian itu menjadi sengit kerana mereka telah jauh daripada masa kenabian. Keadaan itu semakin parah sehingga saling mengkafirkan antara sesama sendiri. Pertikaian itu merebak ke darah-daerah lain seperti Hijaz dan Madinah.

Kerana peristiwa-peristiwa tersebut saidina Uthman mengumpulkan para pakar untuk menyelesaikannya. Mereka akhirnya bersepakat untuk menyalin beberapa mushaf untuk dikirimkan di daerah dan mengeluarkan perintah agar selainnya dibakar dan hanya bertumpu kepadanya.

Uthman melaksanakan kesepakatan bistari itu sekitar akhir tahun kedua puluh empat dan awal tahun kedua puluh lima Hijriah. Untuk menyalin Al-Quran mereka dibantu oleh beberapa sahabat pilihan yang berkepakaran dalam bidang Al-Quran antaranya Zaid b Thabit, Zaid b Al-Ash dan Abdurrahman ibn Al-Haris. Akhirnya terhasillah beberapa naskhah mushaf  Uthmani dan di hantar naskhah tersebut ke beberapa daerah Islam bersama seorang Qari yang mewakili Qiraat-qiraat tertentu. Mushaf-mushaf Uthmani memilikki kaedah-kaedah penulisan tertentu. Para pakar di bidang ini meringkaskan kaedah-kaedah tersebut ke dalam enam kaedah dasar. Kaedah-kaedah tersebut akan diperincikan kemudian.



Kelebihan Rasm Uthmani

  Daripada beberapa takrifan di atas menunjukkan bahawa Rasm Uthmani sangat perlu diambil berat dan didalami keilmuannya khususnya apabila hendak menulis dan membaca kitab suci Al-Quran.

Terdapat pelbagai faktor daripada pelbagai sudut yang dijadikan sandaran ulama-ulama untuk memperkukuhkan kenyataan tersebut. Antara terpenting ialah penulisannya bersifat Tauqifi.

Rasm Uthmani tauqifi.

Ia bermaksud kaedah-kaedah tersebut adalah daripada bimbingan Rasulullah. Lebih jelas ia bermaksud Rasm tersebut datang daripada Allah dan sudah pasti dimaklumi Rasulullah tidak mengajar sesuatu kepada sahabatnya melainkan setelah mendapat wahyu daripada Allah.

Fakta tersebut adalah pegangan kebanyakan ulama samada Salaf atau Khalaf semenjak dulu hinggalah sekarang. Ia diyakini lagi melalui pegangan sahabat-sahabat dan mereka tidak pernah sama sekali mengingkarinya. Walaupun ada beberapa pendapat yang berbeza dengan kenyataan di atas pendapat ini perlu ditolak kerana kaedah penulisannya terdedah kepada kesilapan kerana tiada sandaran kaedah yang mantap. Kaedah-kaedah lain juga sering berubah dan sekiranya berlaku kepada Al-Quran pasti berlaku penyelewengan yang merosakkan kefahaman Al-Quran.

Fakta yang perlu jelas disedari juga ialah setiap huruf Al-Quran mempunyai mukjizat tersendiri yang sebahagiannya diketahui dan sebahagian lagi hanya diketahui oleh Allah. Sebarang pengurangan penambahan dan penyesuiaan akan mengurangkan keagungan dan mukjizat Al-Quran.




Rasm Uthmani salah satu rukun bacaan Al-Quran.

Ulama bersepakat rukun bacaan Al-Quran ada tiga dan salah satunya bacaannya menepati salah satu daripada mushaf-mushaf Uthmani samada yang dihantar ke Mekah, Madinah, Kufah, Basrah, Syam atau pun mushaf imam yang disimpan oleh beliau sendiri.

Merangkumi tujuh huruf.

Antara faktor mendasar sehingga menjadikan rasm Uthmani perlu diberi keutamaan ialah berkaitan tujuh huruf Al-Quran dan ini menjadikannya bertepatan  dengan wajah qiraat yang diajarkan rasulullah kepada sahabat-sahabatnya.

Terdapat banyak hadith berkaitan tujuh huruf dan pelbagai pendapat ulama mengenai maksudnya. Salah satu pendapat yang disepakati oleh kebanyakan ulama ialah tujuh cara bacaan yang merangkumi kata nama samada ia mufrad, mutahanna atau jamak dan samada ia muzakar atau muannas, perselisihan pada cara ikrab, perselisihan cara tasrif, perselisihan mendahulu atau mentakhir huruf atau kalimah, perselisihan dari segi ibdal, perselisihan dari segi menambah atau mengurangkan sesuatu huruf atau kalimah dan perselisihan pada lahjah samada tebal atau nipis, imalah, tashil, ismam dan sebagainya.

Sekiranya rasm Uthmani tidak digunakan dalam penulisan Al-Quran pasti mushaf yang dihasilkan tidak meliputi semua huruf dan seterusnya menjadi mushaf itu terhad dan sesuai digunakan untuk membaca qiraat mutawatiroh tertentu sahaja dan tidak bagi qiraat-qiraat mutawatiroh yang lain.


Bertepatan dengan pembentangan bacaan Al-Quran terakhir.

 Faktor ini juga penting kerana seperti dimaklumi secara pasti melalui sejarah islam rasul melakukan semakan terakhir Al-Quran dengan malaikat Jibril dan Zaid b Thabit seorang sahabat yang sangat rapat dengannya turut berada bersamanya. Dengan keadaan tersebut Zaid b Tahbit diberi tanggungjawab untuk menulis dan mengumpul Al-Quran oleh dua khulafak Ar-Rasidin saidina Abu Bakar  dan Sadina Uthman. Ia menulis berdasarkan kepada pembentangan tersebut.

Oleh itu beliau meyakini bahawa kesemua ayat Al-Quran yang diturunkan semasa hayat nabi tetapi tidak dibentangkan semasa pembentangan terakhir adalah sebagai ayat yang dimansuhkan tulisannya dan beliau tidak menulisnya di mushaf tersebut. Begitu juga apa yang terkandung dalam Mushaf-mushaf  para sahabat seperti Mushaf Saidina Aisyah, Umar, Ubai b Kaab dan lain-lain sahabat kerana sebahagiannya tidak terdapat semasa pembentangan terakhir.

Kaedah penulisan yang istimewa.

Mengikut penelitian dan pengkajian ulama Al-Quran sebenarnya Rasm Uthmani banyak keistimewaan yang tidak terdapat pada Rasm lain. Antaranya
  1. keistimewaan pada huruf-huruf ziyadah.
Selain daripada mengandungi mukjizat yang hanya diketahui oleh Allah sahaja, huruf-huruf  ziyadah mempunyai beberapa keistimewaan antaranya;
    1. mengetahui baris asal sesuatu huruf. Contohnya “إيتاءي” ditambah huruf ya selepas huruf hamzah untuk menunjukkan hamzah sebelumnya berbaris kasrah, “سأوريكم” ditambah huruf wau selepas huruf hamzah menunjukkan baris huruf hamzah ialah dhommah, “ولأاوضعوا” pula ditambah alif selepas hamzah untuk menunjukkan bahawa hamzah berbaris fathah.
    2. Menggambarkan sesuatu makna. Contohnya ziyadah huruf ya pada kalimah “بأييد” untuk memperteguhkan lagi mengenai kebesaran dan kekuasaan Allah yang mencipta langit atau cakarwala dengan begitu kukuh dan sempurna.

  1. keistimewaan huruf-huruf Ibdal.
    1. Panduan mengetahui kata asal/akar sesuatu kalimah. Contohnya kalimah “الصلوة” (jamak “الصلوات”) dan seumpamanya dituliskan dengan huruf wau menggantikan huruf alif  disebabkan wau merupakan sebahagian daripada huruf dalam struktur asal kalimah tersebut. Begitu juga kalimah “الهدى دان فتلقى” ditulis dengan huruf ya menggantikan huruf alif disebabkan huruf ya adalah huruf asal daripada kalimah tersebut.

  1. keistimewaan hazaf.
    1. Petunjuk dua atau lebih wajah Qiraat. Contohnya “وترى الشمش إذا طلعت تزور عن كهفهم ذات اليمين” kalimah تزور dibaca dengan tiga wajah (تزَّور، تزاوَرُ دان تزَّور) .
    2. Mempunyai maksud tertentu yang khusus. Contohnya dihazaf wau pada kalimah  "ويدع الانسن" untuk memperkukuhkan kenyataan bahawa doa seoarng hamba sangat mudah dan cepat sampai kepada Allah.

  1. keistimewaan wasl (berangkai) dan fasl (berpisah).
    1. Kalimah-kalimah Al-Quran yang dibaca sama ada yang ditulis secara terpisah dan ada yang berangkai. Ia juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Dari segi makna terdapat perbezaan contohnya “أمن يمشى” dengan “أم من يكون” apabila ditulis terpisah bermakna “بل” tetapi jika bersambung bermakna "أو


Berdasarkan realiti dan apa yang dikaji oleh ulama maka sebahagian besar  di kalangan mereka berpendapat bahawa Rasm Uthmani adalah kaedah penulisan yang wajib dan dipelihara dan diamalkan.

Walaupun pendapat mengatakan kaedah Rasm Uthmani tidak wajib diamalkan namun pendapat tersebut berbentuk minoriti dan ditolak oleh kebanyakan ulama kerana ia boleh membawa perubahan atau pengurangan huruf-huruf Al-Quran dan dalam jangka panjang mendedahkan Al-Quran kepada perubahan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan